Wednesday, May 29, 2019

GODZILLA: KING OF THE MONSTERS ULASAN FILEM


Ulasan Filem
Godzilla: King of Monsters



SINOPSIS
Godzilla: King of Monsters merupakan kesinambungan dari filem Godzilla 2014 yang lalu. Filem ini mengisahkan tentang raksasa kuno yang dikejutkan oleh kumpulan 'Mornach' atas tujuan menjalinkan perhubungan simbiotik (Memahami satu sama lain). Kegilaan mula terjadi apabila Ghidorah, raksasa pesaing bagi Godzilla bangkit untuk menjadi raja bagi raksasa lain. Maka manusia perlu mencari jalan untuk menghentikan Ghidorah dengan memihak kepada Godzilla.



RAKSASA MENYERANG!
Michael Dougherty merupakan pengarah filem Godzilla: King of Monsters, beliau telah berjaya membawa sebuah filem Godzilla yang berkesan dengan baik bagi para penonton. Pelbagai jenis ketakjuban yang boleh disaksikan melalui filem ini, ini termasuklah dari segi rekaan raksasa, gambaran besarnya raksasa tersebut, dan kecantikan pemandangan 'wide shot' raksasa yang ditonjolkan.

Selain itu, ketakjuban yang dapat dirasai penonton juga adalah melalui adengan aksi raksasa bersama raksasa. Filem ini kerap kali menonjolkan Godzilla, maka memang kena dengan tajuk filem tersebut. Adegan Godzilla berlawan dengan Ghidora merupakan antara adegan yang terbaik di dalam filem ini!





WATAK
Vera Farmiga yang memainkan watak Dr. Emma, ibu kepada Madison telah membawa gaya lakonan yang baik, namun sungguh mengecewakan kerana skrip yang dibawanya tidak mempunyai kekuatan yang tertentu untuk membuatkan wataknya lebih memberansangkan. Objektif perwatakannya tidak cukup kukuh untuk membuatkan penonton memahami motif perwatakannya.

Selain itu, Kyle Chandler yang memegang watak Mark Russell, merupakan seorang bapa kepada Madison, seharusnya membawa perwatakan yang lebih diminati, namun, kekurangan pada perwatakan ini terletak pada skrip. Sekali lagi skrip yang tidak mengukuhkan mampu membinasakan ciptaan watak yang baik. Perwatakannya juga kurang memuaskan, kerana agenda wataknya sering berpaut pada kenyataan rasa bencinya terhadap Godzilla, dan keinginannya untuk menyelamatkan anaknya Madison, justeru perwatakannya tidak pergi lebih dari itu, ini membuatkan penonton tidak tertarik pada wataknya.

Millie Bobby Brown memegang watak Madison. Pada awalnya perwatakan Madison tidak memberansangkan hati, hanya sekadar watak yang hadir di dalam filem ini untuk mengikut telunjuk Dr. Emma. Namun di penghujung filem ini, watak Madison mula menyerlah. Lakonan yang dibawa juga penuh dengan emosi.


HEBAT PADA AKSI, KURANG PADA CERITA
Malang sekali Godzilla: King of Monsters tidak memberikan skrip yang terbaik. Motif utama antagonis filem ini gagal menyampaikan idea keseluruhan perancangan yang baik. Keseluruhan filem ini disajikan dengan gaya penceritaan yang gagal memberi impak pada penonton. Apa yang filem ini mampu lakukan ialah membuatkan penonton ternanti-nanti untuk adegan raksasa yang seterusnya, lansung tidak mengendahkan ceritanya.

Walau bagaimanapun filem ini berjaya menyampaikan kepuasan yang baik dari segi aksi dan visualnya. Godzilla: King of Monsters perlu ditonton oleh pengemar filem raksasa kerana ia mampu menyampaikan suatu perasaan yang unik kepada penonton!

MARKAH
Gozilla: King of Monsters layak mendapat 7 bintang!
*******/***
Kuat Godzilla menjerit!
Trailer

Wednesday, May 15, 2019

JOHN WICK CHAPTER 3 ULASAN FILEM

John Wick Chapter 3
Ulasan Filem

Sangat menerujakan filem aksi berkualiti tinggi ini telah tiba ke filemnya yang ketiga! Selepas tamatnya filem John Wick Chapter 2, filem arahan Chad Stalheski John Wick Chapter 3 ini bermula sejurus selepas filem sebelumnya. Ketegangan mula dapat dirasai dari awal filem hinggalah ke penamatnya.



SINOPSIS
John Wick Chapter 3 mengisahkan tentang seorang bekas pembunuh upahan bernama John Wick. Watak ini telah memilih untuk keluar daripada dunia organisasi kongsi gelap demi menjalankan kehidupan bersama isteri yang tersayang (Rujuk John Wick dan John Wick Chapter 2). Selepas melakukan kesalahan besar iaitu melanggar peraturan 'The Continental' (sebuah 'safe house' dalam dunia kongsi gelap), John Wick telah di statuskan sebagai 'Excominicado', di mana bayaran untuk pembasmian John Wick telah ditetapkan oleh organisasi jenayah. Menerusi filem ini John Wick harus ikhtiar jalan untuk menyelamatkan dirinya dari setiap seorang pembunuh upahan yang boleh berada di mana-mana sahaja.

DEBARAN AKSI!!
Antara yang menjadi tarikan ramai buat filem ini ialah keunikan adegan aksinya. Selepas dua filem sebelumnya, pasti ramai sudah mengetahui prestasi filem ini dalam menyampaikan debaran aksinya yang berbeza dari filem aksi yang lain.

John Wick Chapter 3 membawa adegan aksi yang lebih menerujakan dari filem sebelumnya. Dari awal permulaan cerita sehinggalah akhir, setiap adegan aksi mampu membuatkan para penonton tergamam dengan keunikan koreografi aksi, keganasan aksi, dan debaran aksi.



LAKONAN
Malah bukan aksi sahaja yang merupakan kekuatan filem ini, John Wick Chapter 3 juga telah menyampaikan barisan pelakon yang terkemuka di Hollywood. Keanu Reeves selaku peneraju utama telah mampu membawa watak John Wick ke hati peminat, dengan lagak serta personaliti yang kukuh, John Wick sekali lagi buat kali ketiga berjaya mencuri hati penonton.

Tambahan pelakon Helle Berry juga merupakan satu tindakkan yang bagus oleh pihak produksi, ini kerana lakonan Helle Berry sungguh meyakinkan, dan keunikan watak yang dimain juga (Sofia) berjaya mengukir senyuman di hati penonton.



Barisan pelakon filem John Wick Chapter 3 ini juga turut memperkenalkan watak baru seperti The Adjudicator yang dilakonkan oleh Asia Kate Dillon, Zero yang dilakonkan oleh Mark Dacascos dan watak menarik yang lain. Tersebut merupakan antara pelakon yang telah menyumbang dengan baiknya kepada filem John Wick Chapter 3. Keberadaan The Adjudicator bertujuan untuk menambah puncak bahaya yang dihadapi watak utama, manakala Zero merupakan watak yang seiras dengan kehebatan serta reputasi John Wick.



PENCERITAAN
Selepas debaran yang ditamatkan oleh filem John Wick Chapter 2, Chapter 3 menyambung debaran tersebut dengan pendedahan baru tentang dunia John Wick. Di dalam filem ketiga ini, penonton dapat mengetahui lebih dalam lagi tentang dunia kongsi gelap John Wick yang ternyata lebih besar dari apa yang telah didedahkan di dalam filem sebelumnya.

Menerusi penceritaan ini, John Wick terpaksa mencari jalan yang menguji pemilihannya yang tersendiri. Ini telah menolak limitasi watak utama kesayangan ramai ini ke tahap yang lebih tinggi dari filem yang sebelumnya. Pemilihan pihak produksi dalam mengeksploitasi sifat dan personaliti John Wick dengan lebih dalam telah membuatkan gaya penceritaannya lebih menerujakan dari filem sebelumnya.

Walau bagaimanapun, kehebatan filem ini juga boleh menjadi kekurangan. Ternyata John Wick Chapter 3 bukanlah kesimpulan buat filem ini, pengakhiran filem ini telah menetapkan sambungan buat filem seterusnya. Agak mengecewakan dengan pemilihan seperti ini kerana nada penceritaan mampu berubah dengan drastik sekiranya pihak produksi gagal mencari gaya penceritaan yang lebih baik dari yang sebelumya.



PEMARKAHAN
Secara kesuluruhan filem John Wick telah memberikan hasil yang baik, dari segi keterajuannya dalam menyampaikan adegan aksi serta debaran penceritaannya. Walaupun penamatnya kurang menyenangkan hati, John Wick Chapter 3 telah menapis segala kekurangan dengan penyampaian aksi, penceritaan serta lakonan pelakon yang baik dan menghiburkan untuk menonton.

John Wick Chapter 3 layak memikul 8 bintang.
********/**

BADASSSSSS!!

Saturday, May 11, 2019

BRIGHTBURN ULASAN FILEM

Brightburn
Ulasan Filem

Maklumat Ringkas
Produksi - Screen Germs / Stage 6
Dirtektor - David Yarovesky 
Layar Lakon - Brian Gunn, Mark Gunn


Sinopsis
Brightburn merupakan sebuah kisah keluarga Breyer yang telah menemui seorang bayi daripada kapal angkasa yang telah terhempas di halaman rumah mereka. Bertahun berlalu, bayi ini telah dibesarkan oleh mereka, namun perkara tak diduga berlaku kerana Brandon Breyer (Jackson A. Dunn) iaitu bayi yang dibesarkan itu mula menyedari tentang kuasa yang dimilikinya. Brandon mula menggunakan kuasanya untuk membuat perkara jahat. Hanya Tori Breyer (Elezibeth Bank) ibu kepada Brandon yang berkemungkinan mampu mengubah hati Brandon.



Sinematografi
Filem Brightburn mempunyai banyak elemen menarik ini termasuklah cgi yang digunakan. Penggunaan kameranya hanya menggunakan teknik biasa yang sering dilihat ramai. Namun apa yang menjadi kelebihan filem ini ialah gaya produksi menyampaikan rasa debaran yang berlaku. Antara adengan yang mempunyai rasa deparan yang menarik ialah ketika Brandon cuba membunuh mangsanya. Walau bagaimanapun, ada diantara kegunaan cgi yang agak memberi kesan tidak menyenangkan di pandangan mata penonton, antaranya terdapat dari salah satu adengan Brandon terbang. Gaya pembunuhan yang dilakukan watak antoganis ini juga memberansangkan dan kreatif, sekaligus dicatat sebagai antara elemen gah filem ini.

Lakonan
Lakonan yang dimainkan para pelakon memberi kesan yang baik. Jackson A. Dunn yang memainkan watak Brandon Breyer telah memberikan permainan watak yang baik sebagai seorang budak lelaki yang perwatakannya diam, dan sentiasa berasa tidak selesa pada keadaan sekelilingnya. Menerusi filem ini, perwatakannya berubah daripada budak lelaki yang pendiam kepada budak lelaki yang mula berani melakukan perkara jahat. Akan tetapi perwatakan Brandon tidak mempunyai banyak dialog, dialog yang dituturkan hanya lebih kepada mengugut, selebihnya Jackson A. Dunn menggunakan bahasa tubuh untuk menunjukkan perasaan serta niat tersirat. Perkara ini juga boleh mengurangkan rasa senang para penonton pada perwatakan Brandon Breyer.

Tori Breyer, ibu kepada Brandon telah dimainkan oleh Elezibeth Bank. Lakonan yang baik telah ditunjukkan oleh Elezibeth Bank sebagai ibu kepada anak yang telah dijaganya selama 12 tahun. Perasaan takut yang ditonjolkan serta perasaan sayang yang ditonjolkan menimbulkan rasa realistik yang pasti mana-mana ibu boleh rasa sekiranya mereka mempunyai anak seperti Brandon. Selaku seorang ibu, watak ini harus berdepan dengan rasa kasih sayangnya sendiri untuk menyelamatkan keadaan.

Secara keseluruhan Brightburn mempunyai barisan pelakon yang menarik, akan tetapi hanya dua watak ini yang telah memainkan peranan penting di dalam filem ini.



Penceritaan
Secara keseluruhan penceritaan Brightburn penuh dengan keasyikkannya yang tersendiri. 'What if' senario yang dipertontonkan di dalam filem ini merupakan elemen terbesar pihak produksi. 'Superman menjadi jahat', merupakan antara perkara yang digemari ramai untuk tonton.

Gaya penceritaannya bermula dari awal keluarga Breyer menemui Brandon, diteruskan dengan mereka membesarkan Brandon sehinggalah dia menjadi jahat. Dengan menggunakan kuasanya di telah banyak menghukum mangsanya dengan gaya pembunuhan yang kejam.

Penamat buat cerita ini merupakan antara penamat yang agak memberi kesal kepada penonton, walau bagaimanapun, penamatnya merupakan gambaran tentang kenyataan yang boleh jadi sekiranya 'superman menjadi jahat'. Walau berkemungkinan besar tidak digemari ramai, namun Brightburn telah mampu melakarkan sebuah 'what if' senario yang menarik buat penonton.



Kekurangan
Antara kekurangan yang boleh didapati di dalam filem ini ialah perhubungan di antara Tori Breyer, Mr. Breyer bersama Brandon Breyer. Filem ini lebih memberi fokus dalam cara Brandon menjadi jahat dari memberi fokus pada hubungan Brandon dan keluarganya. Tambahan pula Brandon merupakan watak yang pendiam, tidak banyak memberi luahan hati dalam adengan tertentu. Perkara ini boleh memberi kesan pada penamat cerita, penonton gagal untuk merasai perasaan tertentu seperti sedih, kerana filem gagal menunjukkan perasaan sebenar Brandon Breyer.

Keseluruhannya, Brightburn lebih berunsurkan 'seram', perasaan tertentu seperti sedih bukanlah titik utama Brightburn. Filem ini penuh dengan elemen menarik yang terdapat dari segi pembunuhan yang dilakukan Brandon. Selebihnya, filem ini bukanlah sebuah karya yang mampu menumpaskan karya agung seperti The Conjuring mahupun filem seram yang seumpamanya, namun filem ini mempunyai elemen menarik yang tersendiri.

Permarkahan
Filem Brightburn layak merangkumi 6 bintang.

******/**** 


Wednesday, May 8, 2019

Pokemon: Detective Pikachu

Ulasan Filem
Pokemon: Detective Pikachu



Pokemon: Detective Pickachu merupakan kisah seorang lelaki Tim (Justice Smith) yang telah menerima khabar bahawa bapanya telah mati akibat kemalangan kenderaan. Kerana ini dia telah melawat apartment milik bapanya, di sini dia bertemu Pikachu yang ternyata mampu bercakap dalam bahasa yang difahaminya. Mereka kemudian bersama-sama cuba menyiasat perkara sebenar yang menimpa bapa Tim.

Pokemon merupakan sebuah 'franchise' yang besar, mempengaruhi dunia dari segi permainan video, anime dan permainan kad. Apabila di adaptasikan ke sebuah filem hollywood, ramai yang gemar untuk menonton filem yang memberi aura kecomelan Pikachu ini. Akan tetapi, filem ini bukanlah seperti apa yang ditonjolkan di dalam anime, malah filem ini telah memperkenalkan dunia di mana perlawanan pokemon telah diharamkan. Buat penonton yang mengharapkan adengan lawan di antara pokemon sambil di arahkan 'trainer' mereka, jangan berharap lebih.


Ryan Renolds memainkan peranan paling penting dalam filem ini, beliau telah melakonkan suara Pikachu. Salah satu perkara yang sungguh menimbulkan rasa risau ialah gaya perwatakkan yang diberi kepada Pikachu. Ternyata Pikachu di dalam filem ini boleh di katakan 'comel' dan kelakar. Hasil kelakar itu datang daripada Ryan Renolds sendiri dalam membawa jenis perwatakkan baru bagi Pikachu.

Justice Smith yang memegang watak Tim telah memberi lakonan yang baik. Perwatakkannya merupakan pengerak emosi sedih di dalam filem ini. Lakonannya manakala hanya mampu membuatkan penonton memahami perasaan seorang anak kehilangan bapa, namun tidak cukup untuk penonton benar-benar berasa sedih dengan gaya lakonannya. Ini terbukti dari permulaan filem, penceritaannya mula dengan perlahan, antara adengan paling awal yang ditonjolkan ialah Tim sedang bersedih menerima pemergian bapanya. Lakonannya ketika ini hanya membebankan cerita dengan adengan sedih yang tidak berhasil.


Kathryn Newton, memainkan watak Lucy. Seorang wartawan yang menyiasat tentang hal misteri yang berlaku pada bapa Tim. Keberadaan Lucy hanya untuk memberi cara kepada
Tim untuk menyiasat lebih tetang ayahnya. Lakonan yang diberikan malang sekali tidak membuahkan hasil yang baik. Jenis perwatakkan juga lebih bergaya kartun daripada realistik, ini menganggu kerana watak lain memainkan perwatakkan realistik. Seperti contoh antara adengan yang merupai gaya kartun yang dimaksudkan; ketika Lucy bertemu dengan Tim di sebuah bar, Lucy lagak ala-ala seorang wanita misteri yang seharusnya tidak bertegur dengan Tim, hanya memberi maklumat dan berbicara secara rahsia. Gaya yang dipertontonkan melebihi tahap natural, lansung memberi perasaan tidak senang dihati penonton.

Selain daripada itu, plot penceritaan juga bukanlah sesuatu yang terbaik. Penceritaan daripada filem ini banyak memberi fokus pada penyiasatan Tim dan Pikachu tentang kes ayahnya. Melalui penceritaan ini banyak adengan lucu yang diberikan oleh Ryan Renolds dan Justice Smith yang dipertontonkan dengan baik. Manakala terasa panjang dan lama pada adengan tertentu apabila filem ini terus menerus memberi sesuatu yang tidak digemari penonton seperti adengan sedih yang tidak menjadi serta adengan pendedahan yang tidak menarik perhatian penonton. Lawan antara pokemon juga tidak banyak diberikan oleh filem ini. Namun apabila adengan lawan antara pokemon tiba, ia merupakan adengan yang terbaik di dalam filem ini.

Secara keseluruhan, filem ini penuh dengan kecelaan, ini terdiri daripada penceritaan yang tidak mengemarkan, dan lakonan yang membosankan. Namun kecelaan ini mampu ditapis dengan lakonan suara yang diberikan Ryan Renolds, serta rekaan grafik pokemon yang boleh diterima ramai termasuklah Pikachu. Adengan lawannya juga boleh mengubat sedikit dari kekurangan filem ini.


Permarkahan yang mampu disanjung Pokemon: Detective Pikachu ialah 5 bintang.

*****/***** 

Trailer

Friday, April 26, 2019

THE CURSE OF THE WEEPING WOMAN ULASAN FILEM





LATAR BELAKANG
Filem ini telah diterbitkan oleh Produksi New Line Cinema dan Atomic Monster Production. Telah diarahkan oleh Michael Chaves yang telah mengarahkan filem seperti The Maiden, Regen dan lain-lain.






SINOPSIS
Curse of The Weeping Woman mengisahkan seorang wanita mexico yang telah membunuh dua orang anaknya atas kerana berdendam dengan si suami. Wanita ini kemudian membunuh dirinya sendiri. Bertahun berlalu, kejadian paranormal berlaku pada sebuah keluarga mexico yang dianggap sebagai kes penderaan kanak-kanak. Anna Garcia (Linda Cardelini) kebetulan sedang menyiasat kes tersebut telah terjebak dalam sumpahan La Llorona atau 'Weeping woman'. Filem ini berterusan dengan Anna Garcia cuba mengatasi roh jahat yang menghantui keluarganya.


PENYAMPAIAN
Filem ini merupakan filem dari produksi yang menerbitkan filem The Conjuring, tidak dinafikan bahawa filem ini mempunyai kaedah penyampaian cerita yang seakan-akan filem sebelumnya. Sudah semestinya filem ini juga jatuh di dalam dunia The Conjuring.

Adengan yang mempunyai roh jahat cuba membunuh kanak-kanak sangat mendebarkan, tambahan pula mangsa merupakan kanak-kanak berumur linkungan 8-12 tahun. Premis penceritaan ini juga menarik, menceritakan semula tentang mitos yang pernah bermain di mexico. 'The Weeping Woman' atau bahasa melayunya Wanita Berduka mempunyai tarikan yang terbaik buat penonton.

Walau bagaimanapun teknik-teknik yang digunakan masih ada kekurangan, seperti teknik yang kerap digunakan filem ini iaitu 'jumpscare'. Adengan 'jump scare' terlalu banyak digunakan sehingga penonton berasa lali dengan teknik tersebut, mewujudkan perasaan bosan di hati penonton. Malang bagi filem ini, kaedah penyampaiannya tidak seperti The Conjuring. Antara kekurangan yang jelas ialah elemen 'creepy' yang sepatutnya menjadi kelebihan memandangkan produksi terbitannya ialah New Line Cinema.



PLOT
Susunan plotnya mudah difahami, dan boleh diklasifikasikan sebagai filem 'mediocre' yang boleh di terima ramai. Kaedah susunan 'Linear' memudahkan penonton untuk mengerti tentang penceritaannya tanpa memerlukan pemikiran yang sukar.

Akan tetapi, kekurangan jelas terpapar apabila susunan plot kosong dan hanya sekadar mengisi ruang kejutan atau 'jumpscare' untuk penonton. Tidak seperti filem The Conjuring yang semestinya mengadakan sesuatu adengan itu bertujuan menerangkan sesuatu secara tersurat mahupun tersirat. Filem ini gagal dengan drastiknya dari segi penyampaian penceritaan yang baik. Plotnya kosong dan tidak membuahkan sebarang isi yang kukuh untuk seorang penonton menghargai sesuatu adengan.



LAKONAN
Barisan pelakon bagi The Curse of The Weeping Woman mempunyai antara barisan pelakon yang bagus. Namun yang ingin ditekankan disini ialah para pelakon kanak-kanak yang telah memberi lakonan yang baik. Banyak lakonan yang telah diberikan dengan baik, namun secara keseluruhan masih tidak mencukupi, lakonan para kanak-kanak tidaklah seperti filem IT mahupun Shazam!, filem ini telah mengemukan kanak-kanak yang tidak meyakinkan dari segi lakonan.

Bagi lakonan lain, seperti Linda Cardelini yang memegang watak utama filem ini tidak dinafikan bahawa lakonan mereka meyakinkan dan berada di tahap bagus. Sekiranya ada yang tidak kena dengan lakonan mereka, maka itu merupakan kesalahan skrip yang sungguh terserlah kekurangannya.

MARKAH
Filem legasi The Conjuring ini sememangnya mempunyai potensi yang besar dalam menyerlahkan elemen seramnya. Akan tetapi selepas jam pertama, filem ini hanya mampu membuatkan penonton berfikir 'Bila nak tamat'. Agak sayang melihat idea yang menyerlah namun gagal dilaksanakan dengan baik.





The Curse of The Weeping Woman layak mendapat 4 bintang.
****/******
SeramSejukNakKeluarHallBosan

Wednesday, April 10, 2019

HELLBOY 2019! ULASAN FILEM / MOVIE REVIEW



Hellboy 2019, merupakan filem tentang 'Budak Neraka' seperti apa yang ternyata ditajuknya. Filem ini merupakan sebuah filem 'Reboot' atau pengambaran semula, dengan kata lain filem ini tidak bersangkut paut dengan dua filem Hellboy yang lepas.

Latar masa filem ini bermula beberapa tahun lama selepas kejadian pertemuan Hellboy (David Harbour) pada zaman 'Naziz', keberadaan Hellboy juga boleh dikatakan matang, lebih lama pengalamannya dalam bidang penghampusan jembalang berbanding filem Hellboy pertama. Di dalam filem ini Hellboy mempelajari tentang kisah silamnya yang ternyata telah dirahsiakan oleh bapa angkatnya, Professor Broom (Ian McShane). Namun melalui penceritaan ini dia mula menyedari tentang sifat sebenar dirinya, sekaligus perlu menghentikan ancaman utama manusia, Nimue (Milla Jovovich).


Pertama sekali perlu disentuh selaku filem buatan semula ini, ialah kebaikan pertukaran pelakon yang memegang peranan Hellboy. Semestinya ramai yang mengetahui fakta bahawa Ron Perlman pemegang wakta Hellboy terdahulu yang disanjungi ramai, adakah David Harbour dapat mencapai citarasa peminat? Sebagai seorang penonton, perlu dinyatakan disini permainan watak yang diberi David Harbour tidak memberi perbezaan yang drastik dengan Ron Perlman, akan tetapi secara emosi dari segi sama ada penonton dapat merasai apa yang dirasai Hellboy, David Harbour gagal memberi pencapaian yang terbaik. Boleh jadi perkara ini bersangkut paut dengan gaya pengarahan pengarah iaitu Neil Marshall.


Akan tetapi filem ini berjaya memberi sesuatu yang belum di dedahkan di dalam filem terdahulunya, banyak pendedahan dilakukan, termasuklah maklumat komik yang belum pernah di sentuh filem terdahulu.

Walau bagaimanapun Hellboy kali ini memberi lebih penekanan pada adengan aksi, dan sejujurnya adengan aksi yang di dalam klasifikasi 18 ke atas ini membuahkan sesuatu yang baru dan segar. Hellboy kali ini tidak dihadang batasnya dalam memberi adengan aksi ganas dan bergaya, filem ini berjaya dalam membuatkan penonton berasa kagum.

Selain itu, turut di titik beratkan bahawa filem ini telah di iklankan sebagai filem berunsur komedi, dengan baiknya perlu dinyatakan bahawa filem ini mempunyai unsur komedi yang mampu membuatkan ramai penonton tergelak. Namun disebalik kebaikan ini, filem ini tercela dibahagian penceritaannya yang tersendiri, ini boleh dilihat melalui gaya penceritaan yang terlalu berat sehingga tidak ada adengan 'cooldown' atau ketenangan sementara buat penonton. Perkara ini membuatkan penonton hilang fokus terhadap objektif sebenar penceritaan. Susunan plot juga kelihatan bersepah.

Terdapat satu adengan dimana muzik dan adengan tidak berpaut dengan baik, muzik yang dimainkan muzik ala 'rock', mengambarkan Hellboy dengan hebat melawan musuhnya, namun hakikatnya adengan ini menunjukkan Hellboy ditikam belakang, dan adengan seperti ini sesungguhnya lebih baik disampaikan dengan mood nada yang lebih muram.


Dukacitanya sebagai peminat, mengharapkan lebih dari sekadar aksi yang bagus, namun inilah produk akhir yang diberikan. Filem Hellboy 2019 banyak kekurangan yang boleh ditapis, namun gagal diperlakukan begitu atas sebab memberi lebih perhatian terhadap aksi. Kesimpulannya filem ini berjaya memberi adengan aksi yang baik, namun penceritaannya bersepah dan tidak mampu menarik minat penonton.

Rating Hellboy 2019
5/10!
*****/*****



Saturday, March 30, 2019

SHAZAM! ULASAN FILEM (MOVIE REVIEW)

Filem Shazam dah mula ditayangkan!



Billy Batson,  (Asher Angel) merupakan watak kanak-kanak yang telah dikurniakan kuasa sakti oleh seorang ahli magis yang bernama Shazam. Maka dengan kurniaan kuasa sakti ini, Billy mempunyai kebolehan untuk berubah menjadi superhero muda dalam dunia DC di kenali sebagai Shazam! (Zachary Levi). Selaku superhero baru ini, Billy nekad bersama rakannya Freddy Freeman (Jack Dylan Grazer) untuk mempelajari kuasa sakti Shazam. Namun yang tidak diketahui mereka, ada kuasa jahat yang bakal memburu Billy Batson selaku pemilik kuasa sakti Shazam!

Permulaan filemnya agak menarik, memberi pendedahan kepada latar belakang watak Dr. Sivana (Mark Strong), pengertian motivasi diterangkan dengan baik. Sebagai penonton kepada sebuah filem, yang utama itu merupakan pembinaan watak yang kukuh, selaku antagonis filem Shazam, pembinaan watak Dr. Sivana memberi gambaran jelas kepada para penonton tentang pergerakannya sebagai antagonis.



Pembinaan watak juga perlu diambil kira bagi tunjang utama filem ini, iaitu Billy Batson. Plot sampingan atau juga dikenali sub-plot bagi Billy Batson jelas merupakan nilai murni utama di dalam filem ini. Billy Batson yang menjalani kehidupan beryatim piatu gagah mencari ibunya yang hilang, diwaktu yang sama menolak kebaikkan keluarga angkatnya. Pembinaan sub-plot ini berjaya atau mungkin mampu memberi kesan kepada mereka yang pernah merasai hidup tanpa ibu bapa. Adengan beremosi kecil dan ringan boleh di dapati melalui penceritaan ini, sememangnya harus dipuji kerana filem ini merupakan filem berlandaskan komedi dan aksi melebihi drama.

Selain pembinaan watak bagi kedua-dua watak tersebut, watak sokongan atau 'supporting actor' juga telah memainkan peranan yang terbaik. Jack Dylan Grazer secara zahirnya telah memainkan wataknya dengan baik sebagai Freddy Freeman, boleh dikatakan perwatakannya lebih menarik perhatian berbanding Billy Batson, gaya lakonannya meyakinkan selaku penghantar utama elemen komedi di dalam filem ini.

Shazam, superhero di dalam filem ini, telah dimainkan dengan bijak oleh Zachary Levi. Lakonan beliau sebagai lelaki dewasa berperwatakan kanak-kanak memecah suasana panggung. Zachary Levi memberi aura yang yang berbeza bagi genre superhero yang pernah DC terbitkan sebelum ini.



Walau bagaimanapun kekuatan filem ini lebih diberi fokus pada elemen komedinya. Tahap komedinya sungguh boleh dikatakan lebih kuat berbanding tahap aksinya. Filem ini mempunyai CGI yang mantap, akan tetapi perlaksanaan dari segi koreografi lawan yang menarik serta penggunaan kuasa yang menarik malangnya dibayangi niat produksi filem dalam mengerakkan filem ini ke arah komedi. Sayang melihat filem yang mempunyai potensi dalam membawa antara superhero terkenal di dalam komik DC gagal dalam perlaksanaan gaya lawan yang baik. Waima begitu, filem ini berhak diberi permarkahan yang baik kerana penceritaannya lancar (Lebih baik dari Aquaman), dan penyampaian komedi serta aksi ringannya memuaskan penonton.

Sebagai seseorang yang tidak mengkaji perancangan produksi tentang filem ini, pendedahan yang menarik dalam filem ini sungguh menakjubkan, merupakan antara 'Twist Filem' yang menarik dan tidak disangkakan. Penonton yang meminati filem superhero seperti Superman tidak seharusnya mengharapkan elemen aksi yang berlebihan, namun berharaplah filem ini mampu menghiburkan anda.

Shazam!
********/**
8/10

Trailer Shazam!